SEJARAH SEKOLAH


Sek. Men. Arab (JAIM) Assyakirin



Tahun Penubuhan: 5 Januari 1998

Alamat: Sek. Men. Arab (JAIM) Assyakirin 
77500 Selandar, Melaka
Tel: +606-525 3290 / 3519
Faks: +606-525 3290


Bil. pelajar (tahun 2007): 150

Keterangan: Asrama sekolah disediakan.


Profil

Pada 5 Januari 1998, wujudlah sebuah sekolah menengah agama di Kampung Bukit Senggeh. Sempena kewujudannya di kampung ini, sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Agama (JAIM) Bukit Senggeh. Penubuhan institusi pendidikan menengah ini telah diilhamkan oleh Yang Berhormat Dato' Haji Mohamad Sharif bin Derus, Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Melaka merangkap Exco Agama dan Pendidikan Melaka ketika itu. Di awal penubuhannya, sekolah ini menumpang dan menggunakan Sekolah Rendah Agama Bukit Senggeh sebagai pusat operasinya.

Ketika awal pembukaan, terdapat seramai empat orang guru yang bertugas iaitu Ustaz Muhammad bin Sharif, Ustazah Rohani bte Jantan, Ustazah Hairul Bariyah bte Haron dan Ustazah Zakiah Hanum bte Md. Johar. Mereka adalah perintis dan peneroka awal yang membangunkan sekolah ini dengan dibantu oleh Ustaz Muin Bin Tahir (Allahyarham) yang pada ketika itu merupakan Pengetua Sekolah Menengah Agama JAIM Merlimau. Seramai 16 orang pelajar iaitu enam orang perempuan dan 10 orang pelajar lelaki telah menjadi pelajar sulung sekolah ini semasa pembukaannya.

Pada 12 Jun 1998, Ustazah Zakiah Hanum bte Md Johar telah ditawarkan untuk melanjutkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Raja Melewar, Negeri Sembilan, dan tempat beliau telah diambil alih oleh Ustaz Shafiee bin Mohamad pada 1 Julai 1998. Pada 11 Januari 1999, seorang guru lulusan Syria telah dihantar untuk memantapkan lagi pembelajaran di sekolah ini iaitu Ustaz Adzli Khalid bin Abu Kher. Pada pertengahan tahun 1999 iaitu pada bulan Julai, seorang lagi guru baru didatangkan ke sekolah ini iaitu, Ustazah Shaflina Shafie untuk mengisi kekosongan yang mendesak.

Walau bagaimanapun, pada bulan Ogos 1999 seorang kakitangan guru yang juga warden asrama iaitu Ustaz Shafiee, telah bertukar ke Sekolah Menengah Agama Pekan Pulau Sebang, menyebabkan kekosongan jawatan guru dan warden asrama. Pada 17 Januari 2000, kekosongan itu diisi dengan kedatangan Encik Muhammad Fakhrurrazi bin Isnin di sekolah ini. Kedatangannya sekaligus mengisi jawatan warden yang telah dipangku oleh Ustaz Muhammad sebelum ini.

Bulan demi bulan bilangan pelpjar semakin bertambah hinggalah jumlah pelajar tingkatan peralihan pada masa tersebut, mencecah ke angka 30 orang. Pada tahun 1999, jumlah pelajar yang ditawarkan ke sekolah ini berjurnlah 53 orang. 27 orang pelajar memasuki tingkatan peralihan dan 26 orang ke Tingkatan satu.Apabila masuk ke tahun 2000 sekolah ini telah mempunyai Tingkatan dua dan pengambilan pelajar peralihan pada tahun 2001 dan 2002 terus meramaikan pelajar yang sedia ada.Perhubungan dan perbincangan yang berterusan antara pihak sekolah dengan pihak Jabatan Agama Islam Melaka telah menjadikannya mampu berdiri seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Barisan guru-guru sekolah ini sentiasa berusaha untuk mendidik pelajar-pelajar sekolah ini ke arah insan yang berpengetahuan agama dan bersahsiah yang mulia.

Pada awal tahun 2003, Sekolah Menengah Agama (JAIM) Bukit Senggeh tidak lagi menumpang di Sek. Ren. Agama (JAIM) Bukit Senggeh, tetapi telah diarahkan berpindah ke bangunan sekolah yang baru iaitu berkongsi dengan Sekolah Rendah Arab (JAIM) AI-Falah, Selandar memandangkan lebih banyak kemudahan yang disediakan di bangunan sekolah ini. Bangunan ini diguna bersama dan sesi persekolahan juga dijalankan serentak pada sebelah pagi. Bilangan pelajar telah bertambah dengan kemasukan pelajar tingkatan 1 seramai 38 orang, menjadikan bilangan keseluruhan pelajar yang ada di sekolah ini seramai   128 orang.

Pada 16 Januari 2003, seorang guru telah dihantar untuk bertugas di sekolah ini iaitu Fahrurrazi bin Sulaiman. Selepas sebulan sekolah ini dimantapkan lagi dengan kedatangan seorang guru iaitu Puan Kartini bt Md Jamal dan seorang pembantu tadbir iaitu Puan Norita bt Safar menjadikan jumlah guru seramai 9 orang.

Dalam pada itu pada Julai 2003, atas arahan pihak Jabatan Agama Islam Melaka dan dengan cadangan dan usul yang dipersetujui oleh mesyuarat agung kali ke V Persatuan Ibubapa dan Guru, sekolah ini telah bertukar nama kepada Sekolah Menengah Arab JAIM Assyakirin. Penukaran nama ini bersesuaian dengan status kurikulum utama yang digunakan di sekolah ini iaitu kurikulum Al-Azhar serta lokasinya yang telah berpindah di Selandar.

Pada tahun ini iaitu tahun 2007, sekolah ini mempunyai 5 buah kelas iaitu tingkatan 1, 2, 3, 4 dan 5. Pada tahun ini juga tenaga pengajar telah bertambah menjadikan bilangan semua guru seramai 15 orang termasuk Pengetua iaitu 10 orang guru lelaki dan 5 orang guru perempuan. Bilangan pelajarnya pula seramai 150 orang. Walaupun sekolah ini mempunyai   bilangan pelajar yang kecil dan terpaksa menumpang di bangunan sekolah yang lain, barisan guru tetap berusaha sedaya upaya memberikan pendidikan yang terbaik untuk pelajar mereka dan ini terbukti pada tahun 2003, apabila seorang pelajar telah mendapat keputusan peperiksaan PMR sebanyak 9A. Keputusan yang amat baik ini membanggakan pihak sekolah, ibu bapa dan JAIM.

Asrama Sekolah

Pada awalnya (1998) sekolah ini merupakan sebuah sekolah agama harian. Namun atas desakan ibu bapa pelajar kepada pihak Jabatan Agama Islam Melaka dan hasil perbincangan pihak jabatan, ibu bapa dan masyarakat kampung, maka dua buah rumah kampung telah disewa untuk dijadikan asrama putera dan puteri. Seramai 11 orang menginap di asrama putera dan 15 orang menginap di asrama puteri. Bilangan pelajar yang menginap di asrama juga telah bertambah iaitu 23 orang di asrama putera dan 20 orang di asrama puteri. Dua orang warden telah dilantik oleh Jabatan Agama Islam Melaka iaitu Ustaz Shafiee bin Mohamad dan Ustazah Hairul Bariyah bte Haron.
Meskipun wujud kekurangan kemudahan di asrama, namun para pelajar tetap tabah menempuh rintangan demi mengejar ilmu. Akhirnya Timbalan Pengarah ketika itu, Tuan Haji Jaafar bin Abdul Hamid ( Allahyarham ) telah melawat asrama sekolah ini dan sedikit sebanyak telah membantu menaikkan tarafnya demi keselesaan para pelajar.
Pada 1 Februari 1999, pihak Jabatan Agama Islam Melaka telah mengambil inisiatif membangun dan mengubahsuai struktur bilik air dan tandas asrama. Banyak pembangunan dan pengubahsuaian telah dilakukan di asrama demi menjamin keselesaan para pelajar. Bilik air dibesarkan manakala jumlah tandas telah ditambah. Katil dua tingkat juga telah dibekalkan di samping tilam, bantal dan almari.

Apabila masuk ke alaf baru (2000), sekali lagi bangunan asrama yang juga rumah sewa pelajar telah dibesarkan untuk menampung kemasukan pelajar baru. Asrama pelajar perempuan telah ditambah lagi sebuah bilik manakala asrama lelaki pula, penambahan dilakukan di bahagian depan untuk tempat pelajar menunaikan sembahyang jemaah. Pembinaan ini sedikit sebanyak dapat memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama.Selain itu, untuk kegiatan riadah pelajar, sebuah gelanggang takraw dan badminton telah dibina di hadapan kedua-dua asrama perempuan dan lelaki. Dengan terbinanya gelanggang ini memberi peluang kepada peiajar-peiajar untuk melaksanakan kegiatan riadah mereka dengan lebih sistematik dan teratur.

Pada tahun 2003, pelajar perempuan telah dipindahkan ke penempatan asrama yang baru iaitu di Sekolah Rendah Arab  Selandar. Pelajar-pelajar perempuan telah ditempatkAan di 3 buah dorm yang mampu memuatkan lebih kurang 60 orang pelajar. Manakala asrama para pelajar putera masih lagi di Kampung Bukit Senggeh dan para pelajar terpaksa menaiki bas ke sekolah memandangkan jarak antara sekolah yang baru dengan asrama putera agak jauh iaitu lebih kurang 5 kilometer.

Pada awal 2004, pelajar lelaki telah berpindah dari asrama Kampung Bukit Senggeh ke asrama baru iaitu di dua buah rumah kedai yang berhampiran sekolah yang disewa oleh JAIM.

Pada tahun 2007 ini pelajar asrama lelaki telah berpindah ke bangunan Sekolah Rendah Arab Selandar yang sebelum ini diduduki oleh pelajar asrama puteri manakala pelajar asrama puteri telah berpindah ke bangunan asrama baru yang berdekatan dengan bangunan Sek. Ren. Arab Selandar.

No comments:

Post a Comment

-------------------------------